KUALA LUMPUR – Personaliti e-sukan popular tanah air, Ombong Haha berjaya mara ke peringkat suku akhir pusingan kelayakan Liga Profesional Mobile Legends Malaysia Musim Kesembilan (MPL MY S9) 2021 bersama pasukannya yang dikenali sebagai Mikey.
Ombong Haha dan Mikey berada dalam kelompok empat terbaik dalam kejohanan Grand Final Mobile Legends Liga E-Sukan Malaysia Musim Kedua (MEC S2) 2021 yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Kejohanan itu menawarkan dua slot ke suku akhir pusingan kelayakan MPL MY S9.
Slot itu diberikan kepada Mikey dan satu lagi pasukan Mobile Legends yang sedang meningkat naik iaitu Caracal, selepas juara dan tempat ketiga kejohanan MEC S2 (Homebois dan RSG), telah pun mempunyai slot untuk bermain di peringkat liga Mobile Legends terbesar Malaysia itu.
Selain Ombong Haha, pasukan Mikey turut disertai Avaaa, Byby, Squpoz dan Pyan.

Ombong Haha yang sebelum ini pernah menggunakan nama samaran dalam permainan (ign) Kid Meepo pernah menyertai liga profesional itu pada musim keempat 2020 bersama Axis Bosskurr.
Ombong Haha bukan satu nama asing dalam dunia penstriman langsung e-sukan. Dia yang aktif melakukan penstriman langsung mempunyai lebih 488,000 pengikut di Facebook Gaming.